Sunday, 20 June 2021

Adakah GM Diet Selamat?

Assalamualaikum/Salam Sejahtera kepada semua pembaca.

Dua tiga hari ni saya tengok posting tentang General Motor (GM) Diet berlegar-legar dia wall fb saya. Sepanjang saya belajar dalam bidang Dietetik, ni kali pertama saya dengar tentang diet ni. Jadi saya ambil masa sekejap untuk baca dan teliti cara diet ini dilakukan. 

Melalui apa yang saya baca, secara general, GM diet ialah satu jenis diet yang dikatakan berasal drp Amerika Syarikat yang diamalkan oleh pekerja-pekerja syarikat General Motors pada tahun 1985, dan perlu dilakukan selama 7 hari berturut-turut. Diet ini dikatakan dapat menurunkan berat badan dengan cepat tanpa perlu menahan lapar.  Ini ialah contoh 'Diet Plan' untuk GM diet:

Hari pertama: Anda hanya boleh makan apa sahaja buah tanpa had, kecuali pisang (kerana dikatakan pisang mengandungi tinggi gula dan kalori) 

Hari Kedua: Anda hanya boleh makan sayur sahaja sama ada dimakan mentah atau sudah dimasak 

Hari Ketiga: Pada hari ini, anda digalakkan makan buah dan sayur sahaja,kecuali pisang dan kentang (saya pun tak tahu kenapa)

Hari keempat: Anda perlu makan pisang dan susu rendah lemak sahaja. Jika anda tidak boleh mengambil susu biasa, dibenarkan untuk gantikan dengan susu soya. Cadangan pengambilan 6-8 biji pisang(bergantung kepada saiz) dan 3 gelas susu sehari.

Hari kelima: Bermula hari ini, anda sudah boleh ambil sumber protein seperti daging, ikan atau ayam sebanyak 300g (lebih kurang 7.5 pertukaran) beserta 6 biji tomato.

Hari keenam: Pada hari keenam, anda juga perlu ambil 300g sumber protein beserta apa jua jenis sayuran. 

Hari ketujuh: Akhirnya pada hari terakhir, anda dibenarkan untuk mengambil nasi, tapi hanya beras perang beserta buah/sayur ataupun jus.

Fuhh tengok pun dah seksa apa lagi nak membuatnya.

Selain itu, sesiapa yang mengamalkan diet ini juga dilarang untuk mengambil minuman manis. 

Apa yang menjadi perhatian, diet ini dikatakan dapat membantu menurunkan berat badan dengan cepat, tanpa perlu berlapar dan ada yang berjaya turun sehingga 6kg dalam seminggu. Wow kan? 
Dengan sedikit ilmu tentang diet & pemakanan yang ada, saya ingin memberikan pandangan saya terhadap diet ni. (kalau ada salah atau percanggahan fakta mohon betulkan). 

Kelebihan:

Sebelum saya mulakan, di sini saya highlightkan 'sisi baik' diet jenis ini.

1) menggalakkan makan buah dan sayur.
Seperti yang kita tahu, buah dan sayur sangat bagus dalam membantu penurunan berat badan dan tubuh badan yang sihat. Ia juga kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Sayur juga rendah kalori, kaya dengan zat dan serat yang dapat membantu memberi rasa kenyang. 

2) menggalakkan minum air kosong & kurangkan minuman manis. Di Malaysia, minuman manis ialah salah satu punca kenaikan berat badan kerana ia menyumbang kepada kalori berlebihan. 

Kekurangan:

1) Hanya bersifat sementara

-Penurunan berat badan yang dilihat melalui diet ini ialah kerana kalori defisit. Iaitu, kalori yang diambil kurang daripada kalori yang digunakan. Ini ialah konsep asas dalam penurunan berat badan. 
Melalui anggaran, kalori yang diambil melalui diet ini adalah dalam lingkungan 700kcal hingga 1300kcal sahaja sehari (atau lebih bergantung kepada kuantiti buah yang diambil)

-Penurunan berat badan yang selamat ialah sekitar 0.5 kg hingga 1.0 kg sahaja seminggu, jika terlalu drastik, kemungkinan badan hanya kehilangan air dan lebih teruk lagi jika badan mula menggunakan sumber protein daripada otot utk tenaga jika dilakukan berpanjangan.

-Namun, penurunan berat badan seperti ini biasanya tidak akan bertahan lama kerana kita akan berasa lapar dan akan makan lebih selepas itu. Berat akan kembali kepada asal jika berhenti secara mendadak, bahkan mungkin naik dengan lebih jaya lagi. 


2) Risiko kekurangan zat makanan

-Walaupun diet ini menggalakkan makan sayur dan buah, tetapi tidak seimbang dari segi makronutrientnya. Tiga elemen makronutrient iaitu karbohidrat, protein dan lemak sangat penting untuk fungsi fisiologi badan. Karbohidrat penting untuk memberi tenaga yang cepat, protein juga penting untuk mengawal selera makan dan sumber zat besi yang baik. 

-Diet yang memerlukan pengambilan kalori yang sangat sedikit terutamanya kurang daripada 1000 kcal sehari juga sangat tidak digalakkan tanpa pengawasan pegawai kesihatan yang diiktiraf seperti doktor, dietitian dan sebagainya kearana ia boleh memberi kesan yang buruk kepada badan seperti menurunkan metabolisma & imuniti badan, kekurangan darah (anemia) dan sebagainya. Selain itu, kekurangan mikronutrient  seperti vitamin B12 dan kalsium juga boleh berlaku. Ini kerana sumber utama zat ini ialah daripada sumber haiwan seperti daging, ayam dan produk tenusu.

Kesan-kesan lain diet seperti ini ialah keletihan, sakit kepala dan rasa tidak bermaya. Untuk golongan berisiko seperti ibu mengandung, diet seperti ini amat bahaya! Tolong elakkan atau dapatkan nasihat doktor atau dietitian anda sebelum memulakan apa-apa diet. 

.
.
.
.

Antara ciri-ciri diet yang baik ialah ia seimbang dan tidak membuang mana-mana kumpulan makanan yang terdapat di dalam piramid makanan. Saya juga ada membaca beberapa pengalaman individu daripada blog-blog  yang dah mengamalkan diet ni dan ia terbukti tidak berkesan untuk jangka masa panjang.

Amalkanlah cara diet yang telah disarankan oleh KKM.

1) Mengamalkan konsep suku-suku separuh

2) Menghadkan makanan dan minuman manis

3) Melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit, 5 kali seminggu,   

4) Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh

Nasihat saya,  letaklah tujuan utama untuk berdiet untuk sihat, bukan untuk kurus. Kurus tidak semestinya sihat. .
.
.
.

Kalau perlukan nasihat berkaitan diet dan pemakananan, atau nak tanya mengenai produk-produk susu boleh pm di messenger.  

Rujukan:

1. Kementerian Kesihatan Malaysia (2010). Panduan Diet Malaysia. Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.

2. The GM Diet Plan: Lose Fat in Just 7 Days?: https://www.healthline.com/nutrition/gm-diet

No comments:

Post a Comment

Adakah GM Diet Selamat?

Assalamualaikum/Salam Sejahtera kepada semua pembaca. Dua tiga hari ni saya tengok posting tentang General Motor (GM) Diet berlegar-lega...